KUALA LUMPUR – Nasib bekas dekan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Bahrom Sanugi ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila terpaksa membayar RM12,000 kepada isterinya, Sri Wani Choo Abdullah serta-merta berikutan permohonan untuk menggantung perintah kos tersebut ditolak Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Hakim Syarie Mohd. Amran Mat Zain ketika memutuskan perkara itu berkata, mahkamah tidak berpuas hati dengan alasan-alasan yang dikemukakan Bahrom, 61, menerusi afidavit yang difailkan pada 28 September lalu.
Terdahulu, Bahrom mengemukakan permohonan berkenaan selepas Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan pada 30 September lalu membatalkan empat permohonan termasuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap Sri Wani, 37, bagi mengesahkan jantinanya, malah diarah membayar kos RM12,000 kepada Sri Wani dalam tempoh sebulan dari tarikh itu.
“Dalam hal ini, mahkamah memerlukan butiran seperti dokumen atau bentuk keterangan oleh pemohon bagi meyakinkan setiap fakta, sebaliknya pemohon gagal berbuat demikian,” katanya.
“Ini menunjukkan pemohon tidak berdepan masalah kewangan parah sehingga perlu menggantung perintah. Saya melihat dalam kes ini, pemohon tidak bersungguh-sungguh dan cuba menyalahgunakan proses mahkamah,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Walid memutuskan menolak permohonan untuk menggantung perintah dengan kos yang ditaksir kemudian.
Sri Wani yang hadir bersama peguam syarie Boestamam Ahmad melahirkan rasa gembira kerana sekali lagi kemenangan berpihak kepadanya selepas hidupnya terganggu disebabkan kes tersebut.
Empat permohonan Bahrom yang dibatalkan sebelum ini ialah perintah supaya Sri Wani menjalani ujian DNA, permohonan perintah tegahan daripada memberi kenyataan kepada media, pengesahan nikah untuk memfaraqkan (membubarkan) perkahwinan dan perintah komital untuk memenjarakan dirinya.
Bahrom sebelum ini memfailkan permohonan untuk membubarkan pernikahannya dengan Sri Wani kerana mendakwa pengusaha butik kecantikan itu seorang lelaki selepas setahun mereka berkahwin di Songkhla, Thailand pada 19 Ogos 2009.
sumber http://www.kosmo.com.my
Bekas dekan kena bayar Sri Wani RM12,000, berita semasa, gambar sri wani choo abdullah,kes dekan kahwin sri wani choo
kesian
ReplyDelete