Inspirasi fesyen orang Asli





BUSANA eksentrik bermotifkan kulit ular sawa menyusuri pentas peragaan. Langkah penuh yakin model menambah sensasi pada rekaan kreatif yang mengambil cetusan inspirasi fesyen terkini.

Hadirin yang memenuhi Zebra Square, Kuala Lumpur seakan-akan terpaku seketika kerana tidak menyangka ia sebenarnya dihasilkan oleh gadis remaja 16 tahun dari suku kaum Orang Asli.

Terhapus segala persepsi lain yang menyelubungi gaya hidup kaum pribumi itu kerana mereka kini sudah selari dengan arus perdana malah hidup setara anak merdeka Malaysia yang lain.

“Saya banyak menelaah majalah-majalah fesyen selain mencari maklumat terperinci dalam laman sesawang bagi mendapatkan ilham,” ujar sang pereka, Elin Yusniza a/p Yap Tian Loy.

Dia sama sekali tidak menyangka diangkat sebagai pemenang tempat pertama kategori rekaan baju pada Malam Graduasi Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) baru-baru ini berikutan kekangan masa yang terlalu singkat untuk menghasilkan busana tersebut.

Masa singkat

“Bayangkan, kami hanya diberikan masa hanya dua minggu untuk mereka dan menjahit sendiri baju yang dipersetujui oleh para guru,” jelas anak gadis kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.

“Syukur saya banyak dibantu oleh guru-guru yang memberi tunjuk ajar seperti mencadangkan jenis fabrik yang bersesuai,” jelasnya.

Memilih gabungan material polivinil klorida (PVC) dan linen, rekaan ini berjaya mengatasi 17 busana pelajar tahap dua Kursus Pembuat Pakaian Wanita PLKK yang berpusat di Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Paya Bungor, Kuantan, Pahang.

ELIN (tengah) menunjukkan trofi kemenangannya dan diapit oleh pemenang tempat kedua, Saerah (kanan) dan ketiga, Syariza (kiri) bagi kategori rekaan fesyen.

Gadis genit itu menambah, kesemua pelajar diberi kebebasan dalam memilih gaya untuk dipersembahkan namun perlu mengikuti tema yang disediakan iaitu Urban Glam.

“Saya mengambil masa selama 30 minit untuk mereka baju ini begitu juga dengan rakan-rakan yang lain. Ini kerana, kami perlu menumpukan proses menjahit yang mengambil masa yang lama,” ujarnya.

Beliau menghadapi kesukaran ketika membuat bahagian bawah busana tersebut yang menggunakan dua bantal kecil bagi mendapatkan bentuk yang dicadangkan.

“Selain itu, fabrik yang digunakan juga sukar untuk dijahit kerana ia tebal dan sukar untuk dicantumkan,” jelasnya. Elin kini sedang mengikuti program inkubator iaitu kursus lanjutan di butik jahitan yang terletak di Senawang, Negeri Sembilan.

Pada malam itu, turut diadakan Pertandingan Solekan dan Hiasan Rambut yang disertai oleh sembilan peserta keturunan Orang Asli yang menjalankan latihan di salun kecantikan tempatan seperti BJ Beauty Academic, Subang Jaya; La Joise Industries, Klang dan Millenium Hair Care Beauty Academy, Kuala Lumpur.

Hasil rujukan dalam laman sosial, YouTube selama seminggu akhirnya membuahkan hasil apabila Hafizan Mazlan, 22, dan Kasnisah Sudin, 24, berjaya mengungguli kategori tersebut.

Pembahagian tugas

“Kami banyak berbincang terlebih dulu bagi mendapat idea terbaik. Tenaga pengajar di Millenium Hair Care Beauty Academy juga memberi cadangan terutamanya pemilihan warna yang bersesuaian.

“Apa yang menjadi keutamaan kami adalah kekemasan dan selari dengan tema yang diberikan,” ujar Hafizan.

Tambah Kasnisah yang turut menjadi model yang menggayakan dandanan mereka, pembahagian tugas adalah mengikut kepakaran masing-masing, iaitu beliau melakukan proses solekan manakala Hafizan diberi tanggungjawab mendandan rambut.

Dalam masa yang sama, Nurul Farhana Yusuf, 20, dinobatkan sebagai Ikon PLKK Beliawanis Orang Asli selepas mengalahkan dua lagi jelitawan Orang Asli. Beliau dipilih kerana setelah melepasi beberapa saringan seperti keterampilan diri, cara penyampaian bahasa dan kebijaksanaan menjawab soalan juri.

“Saya tidak akan berputus asa dalam mengejar cita-cita dan akan meneruskan perjuangan sehabis daya agar menjadi contoh kepada rakan-rakan yang lain,” kalimah keramat itu diucapkan Farhana lantas mendapat sorakan gemuruh daripada hadirin yang hadir.

Kemenangan gadis tinggi lampai itu seperti sudah dijangka apabila namanya menjadi sebutan ramai kerana personaliti dan keterampilannya yang menarik. Jika digilap dengan baik, pasti kilauan pesonanya bakal menyinari pentas peragaan suatu hari nanti.

Farhana berkata, pada mulanya beliau kurang yakin dengan diri untuk mengikuti pertandingan ini namun setelah mendapat galakan daripada pengetua Millenium, dia bersedia menggalas kepercayaan yang diberikan.

Menyimpan cita-cita untuk menceburi dunia peragaan, Farhana akan menggunakan setiap pengalaman sepanjang pertandingan tersebut untuk memantapkan keyakinan dirinya.

YALIYANA (kiri) menerima Anugerah Ketua Pengarah Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 manakala Norkartini (kanan) menggondol anugerah kategori sama untuk Tahap 2.

Sebelum itu, beliau dan dua rakannya diberikan kursus selama tiga hari di Snips College of Creative Arts (Snips) yang merangkumi pembelajaran pengucapan awam, pemantapan personaliti dan kursus peragaan.

Mereka diajar cara berjalan di atas pentas dan cara menjawab soalan dengan betul yang dikendalikan oleh tenaga pengajar Snips.

Harapan Farhana, kejayaan diri dan pelajar-pelajar yang lain pada malam graduasi ini menjadi contoh kepada Orang Asli untuk mengejar cita-cita mereka bagi mengubah masa depan hidup mereka.

Beliau kini sedang mengikuti kursus kecantikan di Millenium Hair Care Beauty Academy.



No comments:

Post a Comment

thank you for ur comments!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...