Hattan bakal rujuk semula Arianie,bekas isteri pertama.






“SAYA tidak pernah lupakan dia meskipun sudah sembilan tahun berpisah. Setiap hari saya berdoa moga jodoh kami bertaut semula dan andai diizinkan Tuhan, tidak mustahil kami akan berkahwin dalam waktu terdekat,” kata Datuk Hattan, 48, apabila diminta mengesahkan desas-desus dia bakal menyunting bekas isterinya, Arianie Mohd Abidin sebagai suri hidupnya semula.


Rockers terkenal kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan itu mengaku, dia sangat memerlukan Arianie di sisinya.


Tanpa kehadiran isteri, hidupnya seakan-akan tidak lengkap, bahkan sebagai bapa, dia tidak sanggup melukakan hati putera tunggal kesayangannya, Adam Eiman tidak pernah berhenti berharap mahu melihat hubungan mereka kembali bertaut.


“Kami saling memerlukan dan kini berusaha ke arah itu (perkahwinan). Andai ada jodoh, insya-Allah kami akan bersatu juga dan jika tidak, kami akan terus kawan baik.




Bekas isteri pertama Hattan, Arianie Mohd Abidin



“Saya pernah suarakan hasrat mahu dia kembali kepada saya, tetapi dia minta saya bersabar dan bagi dia masa. Kini, saya nampak kesungguhannya untuk sama-sama membina kembali keluarga kami.


“Ikutkan hati, saya mahu laksanakan secepat mungkin. Biarpun sibuk dengan bisnes dan tuntutan karier sebagai penghibur, tiada alasan untuk saya tangguhkan perkara baik seperti ini. Lagipun, dah tak ada apa yang perlu kami kejar, umur pun makin meningkat.


“Kalau jadi, kami buat majlis kecil-kecil saja. Tak perlu beriya-iya sangat buat persiapan kerana ini bukan kali pertama kami diijabkabulkan. Malulah sudah usia sebegini nak bersanding, laksanakan apa yang wajib sudah,” katanya yang belum menetapkan tarikh majlis.


Dalam ceria, penyanyi yang popular dengan lagu Mahligai Syahdu dan Rindu Bertandang lagi berkata, kesilapan ketika mengemudi rumah tangga sebelum ini membuka mata dan mindanya terhadap banyak perkara, sekali gus menggerakkan hatinya melakukan transformasi ke arah lebih baik.


Mana sikap yang tidak disenangi Arianie dibuang jauh-jauh, malah dia sentiasa muhasabah diri. Akui Hattan, mereka tidak ubah seperti mula-mula kenal dulu di mana masing-masing dalam proses kenal hati budi.


“Saya selalu renung semula kesilapan lalu dan buang mana tingkah-laku yang tidak disenangi Arianie. Begitu juga dia, mana yang saya tidak berkenan, dia buang.


Hattan bersama Adam Eiman,anak tunggal bersama bekas isteri pertama Arianie Mohd Abidin



“Dulu saya leka dengan duniawi. Sepanjang berkahwin dengan Arianie, tidak pernah sekali pun saya imamkan dia solat. Bila kenang balik, rasa ralat sangat dan saya tak nak ulang kesilapan itu,” katanya.


Pasangan ini berkahwin pada 17 Disember 1996 dan berpisah dengan talak satu pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Hattan atau nama sebenar, Mohd Shukri Shahabuddin berkahwin pula dengan Farah Asyikin Othman pada 11 November 2011 dan bercerai 12 Januari lalu, manakala Ariani tidak berkahwin lain sejak itu.


Mengenai reaksi Adam, Hattan berkata, puteranya sangat gembira kerana itu yang didoakan selama ini. Kata Hattan, Adam tahu dia hanya boleh dengan ibunya.

“Daripada dulu lagi, dia tidak boleh terima saya keluar dengan wanita lain. Begitu juga apabila mak dia keluar dengan lelaki lain. Dia simpan rasa tidak senang itu dalam hati dan saya hanya tahu bila kami menunaikan umrah.


“Saya tanya apa doa dia depan Kaabah. Dia jawab minta mak ayah tak jadi kahwin dengan pasangan masing-masing. Kata-kata itu buat saya sedar dan sebagai bapa, saya sanggup buat apa saja demi kebahagiaan dia.

Bekas isteri kedua Hattan,farah Asyikin

“Seperkara lagi, bila berjalan-jalan dengannya di KLCC pada bulan puasa lalu, dia nampak seorang kanak-kanak berpimpin tangan dengan ibu bapanya. “Spontan dia sebut, kalau dia macam kanak-kanak itu, mesti seronok. Saya kehilangan kata-kata, sebak rasanya hati hingga menitik air mata.


“Adam satu-satunya anak saya dan Arianie. Kami bertuah ada anak yang baik, hormat orang, berjiwa tabah dan sangat berdikari. Pendek kata, senang dijaga.


“Jadi apa salahnya kami penuhi hasratnya,” kata Hattan yang kini terikat dengan komitmen juri tetap pertandingan Bukan Sekadar Rupa terbitan TV3.


Hattan bakal rujuk semula Arianie,bekas isteri pertama, gambar hattan dan keluarga

No comments:

Post a Comment

thank you for ur comments!