Salam Eid ul Adha 1433H 2012M




Makna pengorbanan amat luas dan mendalam

SESUNGGUHNYA hari raya korban atau hari raya Aidiladha membawa erti yang cukup besar kepada seluruh umat Islam di dunia ini. Ia juga dikenali sebagai hari raya haji, mengambil sempena Umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci, Mekah. Menjelang hari mulia ini juga kita sering teringat kepada sejarah Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu dari Allah supaya berbuat demikian.

SESUNGGUHNYA hari raya korban atau hari raya Aidiladha membawa erti yang cukup besar kepada seluruh umat Islam di dunia ini.

Ia juga dikenali sebagai hari raya haji, mengambil sempena Umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci, Mekah.

Menjelang hari mulia ini juga kita sering teringat kepada sejarah Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu dari Allah supaya berbuat demikian.

Peristiwa itu sebenarnya satu simbolik kepada umat Islam mentaati Allah dengan sanggup melakukan apa sahaja yang diperintahkanNya.

Pada hakikatnya, pengertian korban bukan sekadar menyembelih binatang korban dan dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin, tetapi falsafah korban itu merangkumi aspek yang lebih luas. 


Memperkatakan mengenai erti pengorbanan, Ketua Jabatan Siasah Syariah Universiti Malaya (UM), Dr. Syarifah Hayati Syed Ismail berkata, dalam masyarakat umat Islam hari ini makna pengorbanan amat luas dan mendalam memandangkan terlalu banyak cabaran yang terpaksa mereka hadapi.

Peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s memberi makna besar kepada seluruh umat Islam dan ia memperlihatkan sifat ketakwaan dan ketaatan seorang hamba Allah yang sanggup melakukan apa sahaja demi menegakkan agama Islam walaupun terpaksa mengorbankan anak kesayangan sendiri.

Namun begitu dalam kehidupan hari ini, Dr. Syarifah lebih suka menarik perhatian kepada pengorbanan dalam erti kata yang lebih luas.

Ini termasuklah pengorbanan antara seorang manusia dengan manusia yang lain dan secara individu, umpamanya pengorbanan isteri terhadap suami dan anak-anak, anak terhadap kedua ibu bapa, begitu juga ibu bapa yang sanggup berkorban demi anak-anak tercinta.

Namun dalam kehidupan hari ini yang kebanyakannya terlalu mengejar kemewahan dan kepentingan diri, masih adakah yang sanggup melakukan dan menaburkan pengorbanan semata-mata kerana Allah s.w.t.

``Dalam menjana pembangunan dan kemajuan hidup, kita sewajarnya menjadikan peristiwa korban itu sebagai inspirasi bagi memajukan kehidupan.

``Berkorban bukan sahaja membawa erti tentang kesanggupan seseorang itu untuk menyerahkan harta atau apa-apa yang disayangi kerana menginsafi akan keperluan orang lain yang lebih memerlukan, tetapi lebih kepada kesanggupan seseorang untuk berbuat sesuatu untuk tujuan kebaikan,'' ujarnya.

Begitu juga pergorbanan turut dikaitkan dengan nyawa sendiri kadangkala terpaksa dikorbankan demi mempertahankan agama dan umat Islam.

Menurut Syarifah Hayati juga, ibadat korban yang dituntut oleh Islam bertujuan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan mematuhi segala suruhanNya.

Namun begitu katanya, dalam realiti kehidupan kita hari ini sejauh manakah setiap individu benar-benar memahami dan menghayati makna di sebalik peristiwa itu.

``Kesanggupan Nabi Ibrahim menyembelih anak kandungnya sendiri Nabi Ismail, bukan semata-mata didorong oleh perasaan taat setia yang membabi buta, tetapi meyakini bahawa perintah Allah s.w.t. itu harus dipatuhi.

``Malah Allah Taala memberi perintah sedemikian sebagai peringatan kepada umat yang akan datang bahawa adakah mereka sanggup mengorbankan diri, keluarga dan harta benda yang disayangi demi menegakkan perintah Allah. Dan adakah mereka juga sanggup memikul amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi,'' soalnya.

Memperkukuhkan lagi kenyataan beliau berkata, hidup adalah satu perjuangan dan setiap perjuangan memerlukan pengorbanan.

``Tidak akan ada pengorbanan tanpa kesusahan.

``Justeru kesediaan seseorang untuk melakukan pengorbanan termasuk wang ringgit, tenaga dan masa sekalipun benar-benar menguji keimanan seseorang,'' ujarnya.

Sesungguhnya kata Syarifah Hayati kesediaan seseorang ibu berkorban, dapat membentuk peribadi mulia yang memahami erti keinsafan, bersyukur atas segala nikmat yang diterima dan bertimbang rasa kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Malah beliau turut yakin, masyarakat yang terdiri daripada individu bersedia melakukan pergorbanan pasti akan menjadi masyarakat yang kukuh, aman dan bahagia.

Syarifah Hayati berkata, dari aspek kemasyarakatan dan kemanusiaan, pengorbanan juga dapat mewujudkan suasana harmoni, kerjasama dan kasih sayang sesama insan.

``Di samping itu juga ia dapat melahirkan sikap penyayang, kasih mengasihi sesama sendiri, serta memupuk sifat suka tolong menolong dan bersedekah,'' ujarnya.

Namun beliau berpendapat, ibadat korban seharusnya dibuat atas dasar keikhlasan serta keredhaan Allah semata-mata dan bukan sebagai jalan untuk bermegah-megah dengan kekayaan yang ada.

``Peristiwa korban ini merupakan satu detik kejadian yang dapat ditanam oleh semua manusia dari semua peringkat usia dan latar belakang serta ilmu pengetahuan mereka.

`Dengan kata lain semangat berkorban adalah tuntutan paling besar sama ada dalam lingkungan keluarga, masyarakat mahupun, agama bangsa dan negara,'' ujarnya.
Sumber: Utusan Online
Salam Eid ul Adha 1433H 2012M,salam raya haji,makna pengorbanan dalam Islam dan hari raya qurban, islamik, 

No comments:

Post a Comment

thank you for ur comments!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...