Taufan Haiyan Filipina ragut 10 ribu nyawa.





Tacloban: Sehingga 10,000 dipercayai maut di satu bandar di Filipina selepas ribut terburuk direkodkan di negara itu membawa angin kencang dan ombak kuat yang memusnahkan rumah serta sekolah.

Mayat bergelimpangan di atas pokok dan jalan manakala orang ramai berebut-rebut mencuri makanan, air serta bahan bakar di kedai runcit serta stesen minyak.

Pihak berkuasa menganggarkan kadar kematian meningkat apabila gerakan mencari dan menyelamat sampai di kawasan yang terputus hubungan akibat banjir dan tanah runtuh. 

Taufan Haiyan adalah bencana alam paling buruk melanda Filipina, negara yang sering berdepan ancaman gempa bumi, gunung berapi dan ribut taufan.Haiyan membadai kawasan timur kepulauan Filipina Jumaat lalu sebelum menghala ke arah Laut China Selatan melalui kepulauan tengah dengan kekuatan angin 235 hingga 275 kilometer sejam (kmsj) serta ombak setinggi enam meter.

Tahap kemusnahan hanya dapat dilihat sepenuhnya semalam dengan Pulau Leyte dikenal pasti yang paling teruk dibadai taufan itu apabila 10,000 dikhuatiri mati di Tacloban saja. Ratusan lain turut dipercayai mati di kepulauan berhampiran.

“Sepanjang perjalanan ke lapangan terbang kami melihat banyak mayat yang ditutup dengan pelbagai benda termasuk papan kadbod dan penutup siling,” kata Mila Ward, 53, yang menunggu di lapangan terbang Tacloban untuk menaiki pesawat tentera pulang ke Manila.

PERSISIRAN pantai di Tacloban, Leyte,
dipenuhi rumah dan bangunan yang musnah dipukul Taufan Haiyan.

Menurutnya, dia melihat lebih 100 mayat sepanjang jalan itu.

Orang ramai dilihat menangis sambil menarik mayat anggota keluarga mereka dari kediaman yang musnah. Satu bangunan besar juga dilihat hanya tinggal rangka manakala sisa-sisa pokok dan sampah-sarap berteraburan di sekitarnya.

Lapangan terbang di Tacloban, 580 kilometer (km) di tenggara Manila, turut dipenuhi sampah, kereta yang terbalik dan bumbung bangunan yang diterbangkan angin memasuki pekarangannya.

Tingkap di menara lapangan terbang itu juga hancur manakala helikopter tentera dilihat terbang keluar serta masuk membawa bantuan.

Rumah penduduk sepanjang jalan memasuki Tacloban juga musnah sepenuhnya.

“Semua sistem menandakan kehidupan moden - komunikasi, tenaga dan air - tidak boleh digunakan. Tiada langsung cara untuk berhubung dengan mangsa,” kata Setiausaha Dalam Negeri Mar Roxas selepas melawat Tacloban, kelmarin.

Taufan Haiyan turut mengakibatkan kemusnahan teruk di sekurang-kurangnya enam daripada 7,000 kepulauan negara itu dengan Leyte, Pulau Samar dan bahagian utara Cebu paling teruk terkesan.

Ia dijangka melanda Vietnam, hari ini.- sumber http://www.hmetro.com.my




2 comments:

thank you for ur comments!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...