Kisah Nora Danish dan Nedim ke London




BUKAN kekecohan baharu, tetapi kisah 'cinta' Nora Danish dengan Nedim Nazri kini menjadi semakin hangat.

Keintiman mereka yang kebanyakannya dipamerkan menerusi akaun Instagram milik masing-masing mencetuskan pelbagai persepsi daripada semua pengikut, pembenci, malah pemerhati bebas yang menanti perkembangan terkini hubungan baik mereka.

Terkini, kisah Nora dan Nedim menghabiskan masa lebih seminggu di kota London dalam kembara yang disifatkan sebagai percutian sekali gus menguruskan bisnes di sana menarik perhatian umum.

Ia menjadi panas apabila Nora dan Nedim memuat naik aktiviti mereka di sana selain beberapa keping gambar yang agak intim seperti berpegangan tangan, kedua-duanya juga telah mengeluarkan kenyataan tentang hubungan mereka dalam bentuk sarkarstik.

Nora yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp menjawab persoalan yang dikemukakan Kosmo! kepadanya dengan berhemah.

Kosmo!: Ada dua perkara yang diperlukan daripada anda, jika sudi ditemu bual. Pertama, tentang dua pencalonan serentak dalam Anugerah Skrin pada malam Jumaat lalu iaitu untuk kategori Pelakon Drama Terbaik dan Pelakon Filem Terbaik. Kedua, tentang kisah anda dan Nedim.

NORA: Persoalan tentang Nedim itu lemah sikit (ketawa). Kalau boleh, saya minta jasa baik untuk tidak menjawab persoalan tersebut atau berkaitan peribadi lagi terutama tentang kerja dia dan hal-hal berkaitan politik sebab ada pihak mula memanipulasi jawapan saya dan menjadikan ia satu agenda lain pula. Jujurnya, saya lihat sekarang hubungan kami sudah mula diheret dalam kancah politik pula.

Tapi mungkin sebab anda berdua orang terkenal dan ia menjadi bualan bila kalian terbuka mengenai hubungan dengan memuat naik gambar-gambar dalam Instagram masing-masing. Terkini, hangat juga mengenai percutian kalian di London. Komen sikit?

Sebenarnya, kalau nak tanya pasal saya, saya tak ada masalah kerana saya faham dunia selebriti, tapi bukan dia. Pada saya, hal peribadi dia, orang lain tak perlu ikut campur. Tentang percutian pula, memang kami tak kisah berkongsi gambar bersama.

Kosmo! ada menerima kiriman jumlah harga tiket penerbangan anda ke London yang mencecah RM25,000. Ia satu jumlah yang besar dan ia mula mencetuskan banyak persoalan tentang perbelanjaan tersebut. Bagaimana anda boleh katakan tentang hal ini?

Saya kira pengirim itu sungguh tidak amanah dalam pekerjaan dia. Apa masalahnya dengan jumlah tersebut? Saya bayar pakai duit saya sendiri, bukannya Nedim. Saya bekerja keras dan punya wang sendiri. Saya mampu untuk membayar perbelanjaan tersebut tanpa tanggungan sesiapa.

Susah menjadi Nora Danish sekarang?

Agaklah (ketawa). Susah sebab saya single (solo) pun saya kena, sudah ada kawan pun susah. Pening. Malah, saya tak sorok tentang dengan siapa saya berkawan dengan memuat naik di Instagram, pun orang mahu mencari benda yang boleh dijadikan hal lain pula.

Bercakap tentang Instagram, hubungan baik kalian dikecam teruk oleh haters (pembenci) akhir-akhir ini. Bagaimana kalian menanganinya?

Saya salahkan sosial media yang semakin meluas sebab dulu orang hanya mengutuk dalam blog-blog sahaja, tetapi kini secara depan-depan di dalam akaun milik kita pun mereka lakukan (ketawa). Haters (pembenci) suka cakap perkara yang mereka rasa tahu, tapi sebenarnya tak tahu apa. Saya juga sudah kaji tentang pembenci saya, yang kebanyakannya terdiri daripada budak-budak, jadi saya abaikan sahaja mereka. Nedim juga tak kisah dengan keadaan ini, dia cool. Cuma dia risau saya dihentam teruk kerana dia memang seorang yang proaktif terhadap saya.

Jadi macam mana caranya anda mahu mengawal perkara-perkara negatif ini?

Saya belajar untuk kurang memberi jawapan jika ditanya tentang hubungan atau kisah peribadi kami, berbanding kisah karier saya. Saya kira, jika saya mahu berkongsi sesuatu pun, saya akan kongsi menerusi Instagram. Jika saya muat naik sesuatu di situ, maka adalah, jika tiada, tak perlu dikorek lagi.

Oh ya, ada yang mendakwa anda tidak hadir ke malam pencalonan Top 5 Anugerah Skrin baru-baru ini kerana mengelak ditanya tentang percutian dengan Nedim. Betul ke?

Tak, saya tidak hadir bukan sebab mengelak, tapi sebab saya demam dan masih jet lag akibat perubahan zon waktu.

Jadi, apakah perasaan anda apabila dicalonkan untuk dua kategori utama serentak?

Alhamdulillah, saya sangat bersyukur terhadap kedua-dua pencalonan yang diberikan. Ini merupakan kali pertama saya tercalon dalam anugerah tersebut.

Saya kira kekuatan saya sehingga tercalon terletak kepada kedua-dua jalan cerita dan karakter yang saya bawa. Alhamdulillah, kita tengoklah, kalau ada rezeki, adalah.




2 comments:

  1. suka pulak ngan Nora sekarang...dia dah matang..

    ReplyDelete
    Replies
    1. ha tau takpe tak childish dah kan,muka je babyface

      Delete

thank you for ur comments!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...