Anak anugerah Allah paling istimewa,beri kesan hebat dalam transformasi diri kita,Ekspresi cinta paling tulus dan ikhlas adalah cinta ibu bapa terhadap anak,selain yang utama kepada Allah SWT.
1. Didiklah anak dengan Al-Quran.
Penekanan Terhadap Al-Quran Kunci Pendidikan Anak-anak
Pendidikan anak-anak merupakan aspek yang kritikal dalam pembinaan keluarga. Apatah lagi apabila menyedari hakikat bahawa anak-anaklah yang akan menyambung dakwah yang dilaksanakan ibu bapanya. Sering kita dengar secara teori akan kepentingan memastikan anak-anak terdidik, terjaga dan sebagainya, dan ramai yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang aspek praktikal yang dilakukan bagi mendidik anak-anak.
Kepentingan pendidikan al-Quran kepada anak-anak
Pendidikan anak-anak ini cukup penting dalam proses pewarisan dakwah kepada generasi seterusnya. Dakwah ini telah diwarisi sejak zaman Adam a.s hinggalah akhirat. Intipati dakwah Adam a.s telah diwarisi hingga Rasulullah s.a.w dan berterusan hinggalah hari kiamat. Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita semestinya memastikan dakwah ini diwariskan kepada anak-anak. Kita juga perlu memastikan kefahaman islam ini diwarisi bertepatan dengan al-Quran dan Sunnah. Sebab itulah di peringkat awal lagi penekanan terhadap al-Quran cukup penting dalam pendidikan anak-anak.
Proses pendidikan al-Quran sejak dari kandungan
Para ibu yang mengandung perlulah sentiasa membaca al-Quran supaya bacaan tersebut meresap masuk ke dalam kandungan. Setelah anak tersebut dilahirkan, anak tersebut perlu diperdengarkan dengan alunan-alunan bacaan al-Quran. Seterusnya apabila anak itu telah mampu bercakap dan melihat huruf-huruf, maka kita latih mereka dengan cara membaca al-Quran dengan betul dan mula membuat hafazan.
2. Didiklah anak tentang halal dan haram dalam Islam
Yang halal dan yang haram adalah jelas di dalam Islam
Penetapan halal dan haram di dalam Islam adalah terang dan jelas. Setiap butiran yang halal dan yang haram terkandung di dalam al-Quran dan juga as-Sunnah. Oleh demikian, setiap umat Islam wajib merujuk kepada para ulamak yang mengetahui ilmu al-Quran dan as-Sunnah untuk mengetahui apa yang halal dan apa yang haram.
Panduan mengenali makanan dan barangan halal
Menurut ulamak, halal atau tidaknya suatu makanan dan barangan itu bergantung kepada dua faktor:
Zat makanan dan barangan itu sendiri; hendaklah tidak tergolong dalam perkara yang disenarai-haramkan oleh Syarak.
Cara pemerolehan makanan dan barangan tersebut. Sekalipun zat suatu barang itu halal, namun jika diperolehi dengan jalan riba, penipuan dan sebagainya, maka ia adalah haram di sisi Syarak.
Lebih terperinci, semua makanan dan barangan yang hendak diisytiharkan halal hendaklah mempunyai ciri-ciri berikut:
Ia tidak mendatangkan mudarat kepada akal dan badan.
Ia bebas dari najis
Ia bukan produk yang diperolehi dari sumber babi atau anjing.
Bagi produk yang diperolehi dari sumber binatang-binatang lain yang halal dimakan [khususnya binatang darat]hendaklah dipastikan ianya disembelih mengikut hukum Syarak.
Ia diperolehi melalui sumber yang diharuskan.
Jauhi yang syubhat
Di persimpangan antara yang halal dan yang haram tersebut terdapat yang samar-samar yang belum dipasti statusnya; apakah ianya halal atau haram, iaitulah perkara-perkara syubhat. Perkara syubhat ialah perkara yang diragui halal-haramnya. Langkah terbaik menurut Rasulullah ialah dengan meninggalkannya. Rasulullah s.a.w. menegaskan dalam hadis di atas; “…sesiapa menjaga dirinya dari segala yang syubhah itu, maka sesungguhnya ia memelihara agama dan kehormatan dirinya. Dan sesiapa terjatuh dalam perkara syubhah, kemungkinan ia terjatuh ke dalam yang haram…”.
Kaitan penjagaan halal dan haram dengan hati
Dihujung hadis, Rasulullah menyebutkan tentang hati dan pengaruhnya terhadap perlakuan manusia sama ada baik atau buruk. Apa kaitan hati dengan konsep halal dan haram yang disebut di awal hadis? Persoalan ini dapat dijelas dengan dua tafsiran:
Kesedaran untuk menjaga halal dan haram bergantung kepada hati. Hanya orang yang memiliki hati bertakwa dan takutkan Allah akan memerhati makanan atau barangan yang digunanya; apakahhalalatau haram? Adapun orang yang fasik dan memiliki hati kotor, baginya tidak penting sama ada rezki yang dinikmatinya halal atau tidak. Yang penting adalah memenuhi selera dan nafsunya.
Bersih dan sucinya hati berkait dengan makanan dan penggunaan barangan yang halal. Jika seseorang itu sentiasa melazimi yang halal, akan terjagalah hatinya. Akan tetapi jika ia mula terlibat dengan yang haram, akan kotor dan rusaklah hatinya.
3. Didiklah anak mencintai Rasulullah saw.
Kenalkan siapa Rasulullah saw.
Jika mahu mendidik anak-anak mencintai dan mengasihi nabi, kenalkan dahulu siapa Rasulullah. Jika tidak kenalkan siapa baginda, bagaimana anak-anak mahu cinta dan kasih kepada baginda. Ibubapa digalakkan bercerita dengan anak-anak tentang kisah-kisah nabi, kedudukan serta baginda. Apabila anak-anak sudah kenal barulah datang rasa cinta dan kasih kepada baginda.
Cerita kehebatan akhlak Nabi
Salah satu cara untuk menyemai rasa cinta dan rindu anak-anak pada Nabi ialah dengan bercerita tentang kehebatan dan keindahan akhlak Rasulullah. Namun didiklah anak-anak mencontoh nabi dalam konteks yang rapat dengan dunia kanak-kanak. Antaranya:
Rasulullah suka membantu orang susah. Didik anak-anak dengan suka menolong orang-orang yang ditimpa kesusahan.
Rasulullah seorang dermawan iaitu suka memberi. Didik anak-anak memberi derma pada orang yang dating meminta derma.
Jangan menyeksa binatang sebab Rasulullah saw sangat sayang pada binatang.
Mengajar anak2 menzahirkan kecintaan
Selepas anak-anak sudah mengenali siapa Rasulullah, barulah lahir kecintaan kepada baginda. Bimbing dan ajar anak-anak berselawat keatas nabi kerana Islam sangat anjurkan kita berselawat kepada baginda. Terangkan fadilat berselawat. Allah taala dan para malaikat berselawat ke atas junjungan baginda, maka kita juga sebagai umatnya perlu berselawat.
Buat apa yang disuruh dan tinggal apa yang dilarang
Seperti orang dewasa, tanda kita cinta dan kasih pada nabi ialah dengan berbuat apa yang nabi suruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Begitu juga dengan anak-anak, didik mereka supaya berbuat apa yang disuruh nabi. Perkara yang buruk atau dilarang nabi pula ditinggalkan.
Pantau tingkahlaku anak
Sebagai ibubapa, pantau anak-anak dengan melihat sifat dan tingkah laku anak-anak:
Puji anak-anak apabila dia Berjaya beramal apa yang disuruh nabi.
Jika anak tidak berbuat, galakkan anak-anak supaya buat. Kalau lupa ingat-ingatkan mereka.
Jika masih tidak buat, tegurlah mereka, teguran per;u diulang-ulang selalu supaya mereka tidak lupa.
Jika mereka masih gagal, berikan hukuman setimpal.
ibu bapa sebagai contoh
Bagaimanapun langkah yang paling berkesan adalah dengan menunjukkan contoh oleh ibubapa yang turut sama membentuk sifat dan akhlak peribadi Rasulullah ke dalam diri. Anak-anak lebih mudah berbuat sekiranya kita ibubapa sudah melakukan. Contohnya sekiranya ibubapa menutup aurat dengan baik, maka anak-anak akan ikut sama.
Hadiri majlis agama
akan meninggalkan kesan kepada diri kita dan keluarga. Jika tidak dapat hadir ke majlis boleh tonton sama-sama di dalam TV dan seumpamnya.
Aturkan program sehari berselawat bersama anak2
Selain itu juga elok juga dibaca sirah atau sejarah perjuangan Rasulullah.
Semoga dengan cara ini akan dapat membentuk sikap dan keperibadian anak-anak kita sepertimana keperibadian Rasulullah SAW. Sesungguhnya anak-anak adalah permata kepada kita. Didiklah dan bentuklah anak agar ia menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
Jom baca yang ini juga :